Manusia sombong, bongkak dan derhaka terhadap Allah SWT sepertimana yang telah dinukilkan dalam ayat ke-6 surah al-Infitaar dan pada ayat yang ke-9 sebagai menjawab persoalan mengapa manusia itu sombong sebegitu rupa. Tidak lain dan tidak bukan hanya kerana manusia benar-benar mendustai hari kiamat.
"Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pengasih? Yang telah menciptakanmu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) mu seimbang, dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu. Sesekali jangan begitu! Bahkan kamu mendustakan hari pembalasan."
(Surah Al-Infitaar : 6-9)
Soalan 1 : Siapakah kita? Manusia. Maka, kitalah yang Allah maksudkan dalam surah ini.
Soalan 2 : Sombongkah kita? Tidak bersyukurkah kita? Apa maksudnya?
Soalan 3 : Berimankah kita dengan hari kiamat? Betulkah kita benar-benar beriman dengan hari kiamat?
Saya bawakan contoh mudah bagaimana sebenarnya kita ini dikatakan sombong dan tidak bersyukur. Masyarakat Malaysia. Saban hari, dada-dada akhbar pasti didahului dengan isu anak luar nikah dan kes buang bayi, isu bunuh diri, isu jenayah rompak dan ragut, isu fitnah-memfitnah yang menjaja maruah agama dan imej negara. Semua ini bukanlah perkara remeh yang perlu dipandang enteng dan dikesampingkan. Akan tetapi, ianya ialah perkara penting yang perlu diambil cakna dan peduli.
Dalam konteks kita sebagai pelajar, apakah kita manusia bersyukur? Bersyukurkah kita jika sekadar melafazkan kalimah Alhamdulillah? Dikatakan bersyukurkah kita andai masih lagi tidak berjemaah di masjid? Bersyukurkah kita andai masih solat di akhir-akhir waktu? Bersyukurkah kita sekiranya subuh masih lagi tercicir? Sekiranya kita besyukur sekurang-kurangnya kita tidaklah terlalu asyik dan suka untuk mengata-ngata, menjaja perkara yang tidak benar, akan tetapi sebaliknya menjaga hati dan lidah kita lantas memelihara hati dan lidah orang disekeliling kita.
Mengapa semua ini boleh berlaku? Sudah terang lagikan bersuluh, Allah telah menyebut dalam ayat ke-9 surah al-Infitaar bahawa manusia itu mendustai hari kiamat. Mari kita kecilkan skop manusia yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada diri kita selakuyang bergelar Muslim agar kita lebih menjiwai watak yang Allah ketengahkan dalam sedutan episod ini.
Mana mungkin bagi seorang Muslim itu tidak percayakan hari kiamat. Islam sudah menggariskan enam rukun Iman yang salah satu daripadanya ialah beriman dengan hari kiamat. Maka kita pasti akan berkata kita percayakan hari kiamat sekiranya kita ditanya “Adakah kamu mempercayai hari kiamat?”
Sedarikah kita, bahawa sekiranya kita masih lagi boleh mencuaikan solat , menabur fitnah, leka dengan mainan dan mimpi-mimpi dunia, kita pada hakikatnya masih belum beriman pada hari kiamat. Iman tidak cukup lengkap hanya sekadar di mulut sahaja menuturkan kepercayaan kepada hari kiamat tapi di manakah perbuatan dan amalan kita yang memanifestasikan keimanan yang selama ini diakui hati dan dilafaz lidah.
Bekerja. Bekerjalah bersama-sama demi Allah. Taat. Taatilah suruhannya demi Allah. Sehingga kita dapat lakukan ibadat hanya atas dasar cinta kepadaNya. Bukan lagi kerana kita takut dengan balasan dan ancamannya, bukan lagi kerana kita ingin mengejar balasan ganjaran daripadaNya. Namun, atas dasar cinta sejati dan hakiki yang mendalam untuk bertemu dengan Allah SWT akhirnya menaut lantas menuntun hati-hati kita untuk melakukan ibadah itu dengan bersungguh-sungguh dan berterusan.
Akan terbit dalam jiwa rasa puas dan seronok bagi setiap pekerjaan yang kita lakukan tidak terkecuali dalam masyarakat pelajar seperti kita. Rasulullah SAW ada menyarankan dalam hadisnya
عن أبي عمرو سفيان بن عبدالله الثقفي ، رضي الله عنه قال : قلت : " يا رسول الله ، قل لي في الإسلام قولا ، لا أسأل عنه أحدا غيرك " . قال : ( قل آمنت بالله ، ثم استقم ) رواه مسلم
"Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah."
(Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Hadis ini membawa mesej yang besar agar kita sentiasa memperbaharui iman kita disusuli dengan ketaatan yang berpanjangan kepada agama Allah SWT. Maka, tatkala diri kita dirundung rasa lemah, bangkitlah wahai sahabat, sedarilah akan hakikat bahawa kita sedang menuju klimaks dalam siri hidup iaitu hari kiamat sebelum berbahagia di akhirat kelak. Oleh itu, lakukahlah sebanyaknya kerana Allah yang mengganjarinya.
Maka, penuhilah setiap detik masa kita, setiap inci jejak kita dengan sebarang cara sekalipun untuk mendekati Allah SWT. Sehinggakan dalam bab rehat kita. Sungguhpun namanya rehat, bukanlah sekadar rehat yang melepaskan lelah dan lesu seharian kita bekerja dan bermualamat dengan manusia. Biarlah sejak detik ini, perbaharui dan jadikanlah waktu rehat kita bukan lagi sia-sia tiada bermakna, namun iringilah ia walaupun hanya dengan kalungan zikir agar kita sentiasa berfikir.
Tatkala kita menjadikan hari kiamat sebagai destinasi terakhir perjalanan hidup kita di dunia ini dan sebagai pintu gerbang ke dunia akhirat maka pasti kita akan berlumba untuk menemuinya. Sebagaimana dalam firman Allah dalam surah al-Muthoffifin ;
"Mereka diberi minum dari khamar murni (yang tidak memabukkan) yang tempatnya masih di lak. Laknya dari kasturi.Dan untuk demikian itu manusia perlu berlumba2. dan campurannya dari tasnim. (Yaitu) mata air yang diminum oleh mereka yang dekat (kepada Allah)."
(Al-Muthoffifin : 25-28)
Mereka yang benar-benar hidup untuk Allah dan untuk akhirat ialah masyarakat yang benar-benar berpadu dengan kasih sayang dan tolong-menolong seperti kata pepatah, ‘Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Masing-masing akan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, mencari keredhaan Allah SWT dan kebahagiaan di akhirat melalui kehidupan di dunia.
No comments:
Post a Comment