Tuesday, May 10, 2011

Pesona Dunia


Dunia ini cukup indah.Cukup indah untuk mengaburi mata manusia bahawasanya segala apa yang ada di dalamnya akan kekal selamanya dan kecantikannya akan berterusan sampai bila-bila.Lupakah kita,sesungguhnya dunia ini akan dihancurkan kelak apabila tiba waktunya.Setiap sistem,hidupan di dunia ini akan menyalahi sifat tabi’e sebelumnya,tidak lagi mengikut sunnatullah pada hari Qiamat kelak sepertima firman Allah Taala:

Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.
Surah At-Takwir (Ayat 5)

Binatang-binatang pada waktu itu seolah-olah dikumpulkan baik yang jinak mahupun yang liar.Masing-masing berkumpul pada suatu tempat yang mana binatang yang terkenal dengan sifat ganasnya,menjadi takut dan berkumpul secara baik bersama-sama binatang jinak yang lain.Mereka lupa akan status diri mereka sebagai pemangsa,malahan sudah tidak menghiraukan akan keadaan mangsanya,lupa bahawa itulah sumber makanan mereka.Akan tetapi,apa yang berlaku pada hari tersebut…?Segalanya-galanya berubah.Berubah disebabkan betapa dahsyatnya suasana pada hari Qiamat itu.

Apatah lagi keadaannya bagi manusia.Semestinya masing-masing akan menjadi kelam kabut,lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri mereka.Ketahuilah,pada saat itu manusia tidak dapat melarikan diri kerana pada waktu itu,hanya Allah yang berkuasa.Hanya Allah tempat pergantungan,tempat perlindungan yang mutlak.

Jadi,apa yang dikejarkan sangat oleh manusia di dunia ini sehingga lupa kewajipan yang sepatut ditunaikan buat Allah.Lupa untuk menyembahnya.Melebihkan urusan duniawi daripada ukhrawi.Bersungguh-sungguh mengorbankan masa seharian untuk mengumpul harta malangnya tidak mampu untuk memperuntukkan sebahagian waktu pada malamnya untuk sujud menyembahNya.Sehinggakan mereka menjadikan persoalan kekayaan di dunia lebih utama berbanding persoalan bekalan yang akan mereka hadapkan pada Allah kelak.Mereka sibuk mengumpul harta kekayaan,lupa membina iman,menambah taqwa.Firman Allah Taala:

 وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى

Berbekallah,dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa.
Surah Al-Baqarah (Ayat 197)

Sesungguhnya nilai iman dan taqwalah yang akan menyelamatkan manusia daripada tarikan dunia ini.Mereka hanya menumpukan hidup mereka semata-mata untuk mencapai redha Allah.

Ketahuilah,cintakan dunia merupakan bukaan kepada pintu-pintu kejahatan.Kita lihat,bagaimana hanya disebabkan harta manusia sanggup berbalah biarpun sesama ahli keluarga mereka.Hanya disebabkan seorang perempuan,manusia sanggup berbunuh-bunuhan untuk merebutnya.Timbulnya perselisihan pendapat tentang sesuatu perkara,maka ukhuwah pula yang tergadai.Kita lihat pula,bagaimana seorang manusia yang hanya lemah,kerdil di sisi Allah sanggup mengaku dirinya sebagai Tuhan hanya disebabkan inginkan dunia.Mengimpikan kemewahannya serta inginkan kekuasaan.Itulah Firauan Si Pelampau.Allah nukilkan dalam KalamNya:


Maka berkatalah: ''Aku tuhanmu yang paling tinggi.
Surah An-Naaziat (Ayat 24)

Zuhudlah di atas muka bumi ini.Gunakan dunia ini sekadarnya untuk kita menuju kepada Allah kelak.Perkataan zuhud bukanlah bermakna seseorang itu meninggalkan harta keseluruhannya.Merekalah yang berpakaian compang-camping,menggunakan pakaian yang busuk,lama,penampilan yang tidak kemas.Rambut yang kusut masai sehingga manusia di sekitarnya memandang enteng akan mereka.Itu bukanlah sifat seorang Muslim.Seseorang muslim itu sentiasa menjaga kebersihan,kekemasan diri serta menjaga penampilan diri.

إن الله جميل يحب الجمال

Zuhud pada hakikatnya adalah kita tidak meletakkan dunia itu di dalam hati.Ia terletak di luar,dalam genggaman tangan kita. Apabila tiba saatnya untuk kita melepaskannya,maka kita lepaskannya tanpa rasa kesal.Apabila kita menerima sesuatu harta,kita tidak berasa gembira malahan membencinya kerana sentiasa berwaspada akan kejahatan yang bakal timbul dengan harta itu jika tidak digunakan pada jalan kebajikan.Harta di tangan dianggap sebagai pinjaman serta khazanah Allah yang perlu diguna sebaiknya.Jika disalahguna,maka ia akan menghalang ketaatan kita kepada Allah.

Sesungguhnya,jika dunia ini digunakan sebaiknya bagi mencapai akhirat maka syurgalah ganjarannya.Kita sebagai manusia ibarat melakukan jual beli dengan Allah sepertimana dalam firmanNya yang berbunyi:


Surah At-Taubah (Ayat 111)

Jadi,gunakanlah diri kita,harta yang ada semata-mata di atas jalan Allah.Zuhudlah…!Tiada rugi bagi mereka yang zuhud.

Sabda Rasulullah S.A.W:

طوبى لمن هُدي إلى الإسلام ، وكان عيشه كفافاً ، وقنع به 

Beruntunglah bagi mereka yang diberikan hidayah Islam,berasa cukup dengan hidupnya dan berpada dengannya.

 Dan SabdaNya lagi:

خيركم أزهدكم في الدنيا ، وأرغبكم في الآخرة

Sebaik-baik antara kamu adalah yang berlaku zuhud pada dunia,dan mereka yang menginginkan akhirat.

Firman Allah Taala:
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ اللَّهِ بَاقٍ

Apa yang ada di sisimu akan lenyap,dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.
Surah An-Nahl (Ayat 96)



No comments:

Post a Comment