Sunday, April 17, 2011

Lupa?



     17 April 2011.Pada hari ini penganut kristian coptik di Mesir bercuti sempena perayaan Palm Sunday.Perayaan ini bersempena kejayaan Jesus Christ memasuki Jerusalem, yang menurut kepercayaan mereka telah disalib seminggu selepas itu.Holy week mereka ini akan berakhir pada Ahad minggu hadapannya yang merupakan hari Easter bagi mereka. 

     Kalau diperhatikan, penganut kristian coptik mengadakan hari sambutan khusus untuk meraikan kejayaan Jesus Christ mereka memasuki kota Jerusalem.Tapi bukankah Jerusalem atau lebih dikenali sebagai Baitul Maqdis di kalangan umat Islam ini merupakan tanah suci kita, umat yang dimuliakan dengan Islam.Tanah mulia para anbiya' dan tanah perjuangan umat Islam hingga ke akhir zaman.

     Gelombang penuntutan hak dan demokrasi yang bermula di Tunisia, Mesir, Libya dan menular ke negara-negara sekitar Asia Tengah dan benua Afrika memang menjadi satu revolusi yang mengkagumkan para pemerhati setia situasi di rantau ini.Kebanyakan revolusi ini berakhir dengan kejayaan di mata mereka yang berjuang menuntut hak masing-masing.Semua mata tertumpu kepada revolusi ini, tetapi sedihnya umat Islam dan dunia lupa akan isu Palestin.

     Rakyat Palestin sudah sekian lama berjuang menuntut kebebasan mereka.Tapi apa yang mereka perolehi.Jawapannya saya kira semua sudah tahu.Kita berharap dengan revolusi di negara-negara sekitar Baitul Maqdis ini akan memberi kesan yang positif kepada perjuangan rakyat Palestin sendiri.Satu kebangkitan dirancang untuk membangkitkan kembali masyarakat Islam antarabangsa tentang bumi perjuangan ini.Intifadha ke-3 bermula 15 Mei ini bakal dilancarkan.

     Moga semangat revolusi di serata dunia turut membawa umat Islam kembali fokus dan prihatin terhadap saudara kita di Palestin.Bumi barakah, bumi perjuangan.

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui"
( AL-ISRAA : 1 )


No comments:

Post a Comment