Bila sebut bekal teringat zaman sekolah dulu. Aku jenis yang tak gemar untuk membeli makanan di kantin sekolah masa waktu rehat. Jadi, mak kesayangan aku akan sediakan bekal setiap hari. Hari ini nasi goreng kuning, esok mi goreng pulak, kadang-kadang nasi lemak dan paling kurang pun beberapa biji kuih karipap dan donat. Sejak dari darjah satu sampai ke UPSR. Alhamdulillah, berkat ikhlas air tangan mak anak dia ini dapat belajar sunguh-sungguh dan tak perlu fikir rasa lapar.
Macam itu juga dengan hidup kita. Kita kena ada bekal. Tapi apakah bekal hidup kita? Sebelum itu, kena tahu siapa kita. Kita orang muslim mukmin maka bekal kita adalah agama ini. Agama ini lah yang menjadi bekalan kita sepanjang kita hidup atas muka bumi ini.
Maka, makna bekal (zad) bagi seorang mukmin amatlah besar dalam seluruh hidupnya di dunia. Petikan daripada kata-kata Ibn Qayyim al-Jauziy, orang yang mencari bekalan (zad) dalam dia berkhulwah namun dia tidak menemuinya dalam pergaulan dengan manusia maka dia adalah al-mukmin al-dha'if (mukmin yang lemah). Manakala jika sebaliknya, seseorang menemui bekalan (zad) dalam pertemuan dengan manusia tetapi tidak dalam berkhulwah dengan Allah, maka di situ ada masalah dalam dirinya.
Muhammad, sebenarnya bekal itu kita perlu rasai dan temui dalam setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita bukan sekadar hanya dalam kita berteleku bersendirian di atas tikar sejadah pada waktu malam. Dengan akal yang bijaksana, dari sini juga kita kena nampak kesempurnaan agama Islam ini. Kita tidak mengkelas-kelaskan Islam.
Maka, bekalan yang kita cari bukan hanya terdapat dalam ibadah khusus semata-mata, tetapi kita kena bergerak mencari ia disekeliling kita. Duduk kita ibadah, pertemuan dan perbincangan kita juga ibadah, mesyuarat kita ibadah. Kita sendiri sebenarnya yang perlu mengekstrakkan bekalan (zad) yang kita cari dalam setiap peristiwa yang berlaku ke atas kita.
Kamu mungkin tertanya kenapa pula kena cari bekalan (zad)? Aku beri jawaban mudah, sumber motivasi dan inspirasi. Hidup ini pasti takkan lekang daripada ujian, masalah, halangan, mehnah, kepayahan, keperitan, kesesakan dan kesempitan walaupun sedikit. Jadi, dengan bekalan (zad) yang kita cari inilah, akhirnya akan menolak diri kita untuk terus dan terus bergerak tanpa berhenti sungguhpun perlahan.
No comments:
Post a Comment